Identiti grafik Pemasaran Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Panas 2024

Logo

Logo Paris 2024 telah diumumkan pada pukul 20:24[1], 21 Oktober 2019 di Grand Rex, panggung wayang yang terbesar di Eropah.[2][3] Buat kali yang pertama, logo yang sama digunakan untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik, hal ini melambangkan kedua-dua temasya sukan ini adalah satu projek yang sama dan mempunyai cita-cita yang sama.[4] Perkataan "Paralympic Games" juga tidak wujud di bawah logo Paris 2024.[5] Reka bentuk logo tersebut adalah berilhamkan gerakan Art Deco yang menjadi popular semasa 1924, iaitu semasa Paris menganjurkan Sukan Olimpik terakhinya sebelum Sukan Olimpik 2024.

Logo tersebut berbentuk bulatan, seperti sebuah pingat emas, dan ilustrasi rambut serta bibir yang berwarna emas dalam logo tersebut menampilkan raut wajah Marianne, personifikasi kebangsaan Perancis. Api Olimpik dan Paralimpik juga boleh dinampak di ruang negatif rambut Marianne. Marianne turut merupakan ikon kebebasan semasa zaman Revolusi Perancis 1789 dan kini sudah menjadi simbol Perancis yang biasa didapati di mana-mana sahaja di seluruh negara tersebut.[6] Di bawah logo tersebut terletak logo Olimpik atau logo Paralimpik.[7]

Logo ini diibaratkan sebagai "wajah Paris 2024" oleh pihak penganjur Paris 2024.[8] Penggunaan wajah seorang figura perempuan juga memberikan penghormatan kepada Sukan Olimpik 1900 (turut dianjurkan di Paris) yang merupakan kali pertama peserta wanita dibenarkan untuk bertanding dalam Sukan Olimpik. [1] Penekanan kepada wajah manusia juga menyampaikan mesej bahawa "manusia" merupakan fokus utama edisi Sukan Olimpik dan Paralimpik ini.[2] Logo ini direka bentuk oleh syarikat Royalties Eco-Branding.[9]

Logo ini telah dikritik oleh orang ramai kerana reka bentuknya serupa dengan logo aplikasi memikat isteri atau salon rambut,[10][11] ada netizen pula mengibaratkannya dengan meme Karen yang merebak di media sosial atau gaya rambut seseorang selebriti.[12] Walaupun demikian, sebuah kajian mengatakan bahawa sebanyak 83% penduduk Paris yang menggemari reka bentuk logo ini.[13]

Tipografi

Tipografi Paris 2024 juga mendapat inspirasi daripada gaya fon Art Deco, pergerakan seni yang berasal dari Perancis yang mencapai kemuncaknya pada 1920-an, dan ketebalannya boleh diubah suai mengikut keperluan.[14] Reka bentuknya juga bersifat mesra alam kerana aksara-aksaranya disusun secara rapat untuk menjimat kertas dan dakwat.[15] Selain itu, penggunaan fail fon yang tunggal bagi kesemua variasinya juga mengurangkan penggunaan tenaga.[15] Tipografi tersebut direka oleh Elliott Amblard dan Julie Soudanne. Pengarah seni projek ini ialah Sylvain Boyer dari syarikat Royalties Eco-Branding dan beliau dibantu oleh Tina Payet.[16]

Warna

Warna hitam telah digunakan sebagai warna utama dan warna latar belakang dalam media digital untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, manakala warna putih dijadikan sebagai warna dominan dalam media cetak untuk menjimatkan penggunaan dakwat.[17]

Warna utama penjenamaan Paris 2024 adalah sama seperti warna logonya, iaitu warna emas, hitam dan putih. Beberapa warna sekunder juga digunakan untuk menyerlahkan elemen-elemen yang ada dalam sesebuah komposisi reka bentuk. Warna-warna ini juga digunakan untuk menghasilkan komposisi reka bentuk yang bertenaga dan berinspirasi.[17]

  • Warna utama:             
  • Warna sekunder:                                 

Rujukan

WikiPedia: Pemasaran Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Panas 2024 https://www.insidethegames.biz/articles/1086210/pa... https://www.insidethegames.biz/articles/1086284/fr... https://www.insidethegames.biz/articles/1098231/be... https://www.astroawani.com/berita-dunia/citius-alt... https://ecobranding-design.com/paris2024/ https://ecobranding-design.com/wp-content/uploads/... https://www.elliottamblard.com/Paris-2024-Olympics... https://nypost.com/2021/07/29/paris-olympics-2024-... https://olympics.com/en/news/paris-2024-olympic-pa... https://www.youtube.com/watch?v=ZV5WBT2Ee8M